Thursday, 8 November 2012

Friends

Dah 3 minggu lebih arwah meninggalkan kami. Setiap hujung minggu rumah kami sentiasa dikunjungi tetamu sama ada rakan saya atau rakan arwah. Mereka memberi sumbangan dari berbagai pihak. Alhamdulillah, syahdu rasa. Kawan arwah yang dah 20 tahun meninggalkan sekolah pun still turut mengingati arwah.

My SRIKANDI's friends. (ex-STF). Mereka datang bikin riuh rumah saya.

Arwah's friends (ex-SMSJ)



Sumbangan, sumbangan ..... walau bagaimana banyaknya sumbangan, ia TETAP TIDAK SAMA kan??!!! Alhamdulillah.

Wednesday, 7 November 2012

WW - Angguk-angguk ... Geleng-geleng

Luqman bakal mencecah 4 bulan Jumaat ini (9/11/2012). InsyaAllah. Tapi kepala masih "tak keras". Dok bergoyang-goyang jek. Tu yang orang panggil "Angguk-angguk, geleng-geleng".

 Semasa majlis tahlil arwah ayah (30/10/2012), Luqman asyik Angguk-angguk, geleng-geleng... 
last-last MUNTAH .. hehe

Luqman suke posing macam ini

Nota : Suka tersenyum macam arwah ayahnya.

Tuesday, 6 November 2012

Tahniah Nurhami Nabilah

Penyejuk hati !!! Nabilah dapat tempat ke-3 dalam kelas. Alhamdulillah. Final year exam sehari selepas kehilangan ayah tercinta.


Time mereka bermanja dengan arwah ayah, macam2 dorang request kalau suruh belajar.

Terdengar si kecil Nabilah berkata seorang diri :

"Ayah janji nak bawa pergi SPA (kid's spa di bangsar) kalau dapat 5A atau nombor 1/2/3 ... 
tapi ayah dah takde".


Ibu jawab "Dah, jangan mintak ibu pulak" .... to "neutral" the sad moment.

Monday, 5 November 2012

Suratan atau kebetulan

Sorry friends ... rasanya biar saya catatkan luahan hati ini untuk kami kenang.

Allah merancang sesuatu itu tanpa kita sedari. Setelah arwah meninggal, satu demi satu kenangan keluar dari memori ini dan juga cerita dari rakan2 yang kami dengar. Suratan / kebetulan?

(Cerita seterusnya ada yang disampaikan oleh orang lain. Harap2 cerita ini tiada tokok tambahnya).

12 Oktober 2012 (Jumaat)

(1) Arwah balik kerja awal, dalam erti kata lain, sempat berjemaah Maghrib bersama saya dirumah. Selalunya arwah akan berhenti solat berjemaah di masjid2 until Isya. Then baru balik rumah. Colleague office beritahu, arwah dah clearkan meja. Arwah kata nak balik awal, kerja dia dah siap. (Selalunya arwah tinggal berdua je dgn boss sampai lewat). Kebetulan arwah apply cuti hari Isnin, so segala kunci office diserahkan pada kawan office.

Kami dinner bersama di Kafe Suri Mama, Bukit Katil. Anak-anak lain tinggal rumah kecuali si kecil Luqman dibawa bersama. Kafe ini milik penyewa yang sewa rumah kami sebelum kami beli rumah itu. Arwah seboleh-boleh nak jumpa the owner. 2-3 kali jugak dia bertanya pada pekerja kat situ. Tapi tak dapat jumpa jugak. Apa tujuan dia bertanya? Mungkin dia nak dapatkan KOD ALARM rumah itu. Mungkin dia nak pastikan kami selamat apabila ketiadaannya.

13 Oktober 2012 (Sabtu)

(1) Tengahari kami ada jemputan Akikah rumah staff arwah di Bukit Katil. Kami bawa semua anak-anak. Kami ke Padang Jambu dahulu untuk mengambil Maisarah dari tuition. Ternampak Kelas Al-Quran Al-Baghdadi. Arwah kata nak masuk kelas itu. Arwah cakap nak bawa Imran bersama. Saya bagitau, Imran tu Iqra pun tak lepas lagi.

Cerita pasal akikah, kami survey makanan yg dihidangkan sedap. Nanti nak tanya kawan tu katering mana. Arwah kata dia "malas" nak buat akikah kat rumah sendiri sebab tak reti nak layan orang.
Lepas majlis, arwah nak ke Sg Buloh, nak berubat. Plannya dia nak pergi seorang tapi arwah "angkut" kami bersama dengan "sehelai sepinggang". Hanya Luqman sahaja ada bawa baju & pampers extra.

Thursday, 1 November 2012

Warkah Buat Prof

Nota : Sebelum ini saya selalu share cerita gembira di blog kesayangan ini. Lately, MAAF saya asyik cerita sedih sahaja. Bukan minta simpati tapi memang saya tak boleh lari dari kesedihan. Harap readers faham perasaan saya ini.

Saya terjumpa warkah yang ditulis oleh arwah pada Sunday, 31 October 2010 at 11:06 · (2 tahun yang lalu). Khas ditulis untuk Prof Muhd Kamil. Saya baru sahaja baca warkah ini dan saya pasti Prof pun tak pernah tahu kewujudan warkah ini. Saya sampaikan ucapan terima kasih bagi pihak arwah.

SAYA MENANGIS ...... TAK BOLEH BERHENTI !!!

Warkah Buat Prof

by Muzaffar Adnan on Sunday, 31 October 2010 at 11:06 ·

Assalamualaikum w.b.t,
Apa khabar prof? Masih ingat kami lagi? Dah lama saya tak menulis pada Prof. Saya hendak memanjatkan rasa syukur pada Allah kerana prof dan Kak Roza merupakan salah seorang insan yg dipilih Allah untuk mendorong saya lebih mendekatiNya.

April, 2009 saya diperkenalkan dengan buku "Travelog Haji Merentasi Sempadan Iman" oleh seorang sahabat, yang juga banyak membantu dalam usaha saya untuk mendekatkan diri dengan Allah. Saya tidak tahu sekiranya sempadan itu telah saya rentasi atau tidak walaubagaimanapun Jun,2009 dengan izin  Allah saya dan isteri telah selamat  mengerjakan umrah.

Sepulangan saya dari tanah suci, perasaan meluap2, dada berdebar2 , Kaabah masih terasa2 didepan mata.
Hari itu dalam sejarah , tanggal 6Julai2009 saya buka buku tabung haji dan terus daftar bermodalkan RM1800. Saya dimaklumkan oleh pegawai yg bertugas “ Encik punya giliran pada tahun 1447Hijrah bersamaan 2026 Masihi” .

Kata-kata itu keluar seolah-olah tanpa perasaan, tapi saya yang mendengarnya terasa seperti  ada kapalterbang terhempas di dalam kepala , sesak nafas dibuatnya. Tapi saya yakin, yang menentukan pergi atau tidak bukan pihak tabung haji tapi Allah. Saya tawakkal, jejak langkah prof saya ikut. Berpucuk surat rayuan saya tulis.

Ketetapan Allah tidak ada siapa yang dapat menghalang. Tanggal 20August2010, dalam perjalanan ke Melaka, saya diberitahu “ Encik , alhamdulillah, tahniah , Encik suami isteri telah terpilih untuk mengerjakan Haji tahun ini 1431 Hijrah/ 2010 Masihi”.

Airmata saya berjurai, tidak hirau saya pada kereta sebelah menyebelah. Siapa sangka, saya yang baru buka akaun tahun lepas berbekalkan duit RM1800 telah terpilih mengerjakan haji, malahan dibawah kelolaan muassasah pula.

"Aja, kita terpilih untuk pergi Haji tahun ni..." tersekat suara saya dikerongkong. " Betul ke ni bang? Ya Allah, Alhamdulillah..." Isteri seperti tidak percaya.Tangan saya terus mendial nombor sorang sahabat ni." Din, aku dapat pergi Haji tahun ini, terima kasih banyak2, berkat doa ko, aku terpilih...".

Suara tersekat, talian terputus seolah-olah memberi ruang kepada kami berdua untuk bertafakur dan bertahmid.Tak lama kemudian SMS berbunyi. Pesanan ringkas dari sahabat.. "Sukanya aku, menitik air mata aku. syukur alhamdulillah".

Rupanya tuhan mahu menduga, pihak majikan tidak membenarkan saya pergi atas alasan makluman yang terlalu suntuk, kekurangan staff, pembukaan syarikat dan produksi baru. Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami. Rayuan saya ke tabung haji  untuk menunda ke tahun hadapan juga gagal. Saya pasrah, Allah yang memberi , Allah juga yang mengambilnya semula. Sebelum surat penolakan saya serahkan, dengan kaki longlai, tersandar di dinding kaca tingkat 30 bangunan tabung Haji, tangan menekan nombor tel bimbit majikan.

Maha suci Allah, siapa sangka majikan Jepun yang tidak percayakan tuhan dan agama itu boleh berkata
"Saya tidak tahu bertapa pentingnya perjalanan haji ini kepada seorang muslim, saya bagi kebenaran tapi sebelum pergi, kamu kena pastikan semua kerja berjalan lancar"...

Labbaikallah, Labbaikallah, Labbaikallah...lidah saya kelu, hanya talbiah itu bergema di dalam hati. Hambamu datang Ya Allah, hambamu datang Ya Allah, air mata saya menitis, hilang malu pada pandangan orang lalu lalang.

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan”, makna surah Ar-Rahman yang kerap prof  ungkapkan dlm buku Travelog Haji terngiang-ngiang di telinga.Di sini, saya ingin berkongsi kegembiraan ini bersama-sama prof, salah seorang insan yang Allah datangkan kepada saya bagi membuka mata hati yang telah lama tertutup dek karat dosa ini, supaya datang kepadanya, dan merasai sendiri dengan seluruh anggota badan ini betapa agung, besar dan mulianya Allah. Dan bertapa hinanya saya sebagai hambanya.

Ada sahabat mengatakan perjalanan haji saya mirip prof. Saya terpilih atas koata menteri. Seperti juga prof, bila ditanya, saya menjawab “Saya memang kenal menteri itu, tapi dia tidak kenal saya”. Saya juga  tidak sempat mengikuti kursus bersiri dan intensif. Hanya berbekalkan pembacaan sendiri dan ilmu yang diajar oleh ayah, ibu dan sahabat2 yang pernah ke sana.  Dan saya juga bakal masuk ke Mekah dahulu. Dan saya pergi dengan pakej muassasah.

Saya malu disamakan begitu, prof telah pergi jauh meninggalkan saya, dimana saya masih merangkak mendekati Allah. Tapi percayalah, tidak ada perkara yang berlaku secara kebetulan, semuanya atas ketentuan Allah dan hanya Dia yang tahu hikmah disebaliknya. Cuma yang saya tahu, setiap rentetan peristiwa di dalam Travelog Haji, saya hayati betul betul, dan kami suami isteri amat amat mendambakan agar terpilih sebagai tetamuNya yang paling paling paling istimewa. Insya Allah.

Perjalanan haji kami masih jauh, apa2 pun boleh berlaku, doakan agar kami diberi kelapangan masa yang secukupnya, dipermudahkan urusan haji dan dikurniakan haji yang mabrur.

Wassalam
Muzaffar Bin Hj Adnan
Nor Hafizah Binti Hj Mohd Nor


Prof jugak menulis di blog beliau. Terima kasih Prof
http://muhdkamil.org/blog/2012/10/31/saya-doakan-bertemu-di-jannah/

Kami pernah berjumpa Prof dan Kak Roza pada Januari 2010.
http://teratakhami.blogspot.com/2010/01/bertemu-prof-dr-muhd-kamil.html